Share your travel experience!

Friday, March 14, 2008

today's politic

DAP biadab -- Arahan pulau majlis pelantikan MB Perak dianggap hina raja Melayu

KUALA LUMPUR 13 Mac – DAP bertindak biadab apabila mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu memulaukan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Beberapa pemimpin yang membidas tindakan DAP itu turut menegaskan, adalah satu penghinaan kepada institusi raja-raja Melayu jika ada mana-mana pihak yang tidak menghormati majlis tersebut yang merupakan sebahagian daripada adat istiadat Kesultanan Perak.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan DAP melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihatnya, Lim Kit Siang semalam merupakan sesuatu yang di luar batasan.

“DAP secara terang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati kedudukan kesultanan Melayu.

“Niat memulaukan istiadat pelantikan juga menunjukkan mereka hanya gilakan kuasa sehingga sanggup membelakangkan kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

DAP malam tadi mengarahkan kesemua 18 ADUN parti itu di Perak memulaukan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang dijadualkan petang ini. Pada pilihan raya lalu, Barisan Nasional menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, Pas (5) dan PKR (7).

Tindakan itu diambil berikutan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam melalui Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah memilih ADUN Pasir Panjang merangkap Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak ke-10.

Kit Siang dalam kenyataannya semalam menegaskan keputusan melantik Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar hanya mencetuskan kejutan dan kemarahan pimpinan, ahli serta penyokong DAP.

Sebaliknya menurut Kit Siang, DAP hanya bersetuju dua nama sahaja iaitu Pengerusi DAP Perak merangkap ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Menteri Besar.

Majlis tersebut kemudian ditangguhkan selepas pihak istana mendapati DAP, Pas dan PKR tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Bagaimanapun hari ini, Kit Siang telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula dengan tegas menyifatkan kenyataan Kit Siang itu sebagai biadab.

“Jangan baru sehari dua berkuasa, sudah mula tunjuk belang. Memang ia biadab.

“Perlu ingat negeri Melayu ada adat dan pantang larang, sebab itu DAP jangan sesekali lupa pepatah, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

“Saya percaya dalam hal ini bukan sahaja saya, tetapi puluhan juta lagi rakyat menjunjung kasih dan mengucapkan syabas ke bawah Duli Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kerana terus menegakkan peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Kit Siang sudah memohon maaf dan akur untuk menghadiri majlis angkat sumpah, namun langkah itu umpama ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

“Sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada institusi raja dan menghormati dasar-dasar negara, kita rasa terpukul dengan keangkuhan DAP yang seolah-olah mengundang api perkauman.

“Sikap yang keterlaluan dan melampau ini seolah-olah mengundang api perkauman supaya disemarakkan dan memang benar telahan umum selama ini DAP merupakan parti cauvinis yang bertopengkan konsep ‘Malaysian Malaysia’,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajudin Abdul Rahman pula berkata, perkembangan yang berlaku di Perak itu seharusnya menginsafkan orang Melayu.

“Sekarang kita nampaklah belang DAP. Tanya saya, memanglah biadab bila tidak boleh terima keputusan istana,” tegasnya.

***

Formula BN boleh bentuk kerajaan Perak

KUALA LUMPUR 13 Mac - Barisan Nasional (BN) sepatutnya boleh membentuk kerajaan negeri Perak berdasarkan jumlah kerusi terbanyak dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana BN yang merupakan satu gabungan 14 parti berdaftar dan sah dari segi undang-undang telah memenangi kerusi terbanyak di negeri itu.

BN memenangi 28 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala DAP menguasai 18 kerusi, PKR (tujuh) dan Pas (enam).

Rais berkata, bilangan kerusi yang dimenangi Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak tidak boleh dianggap majoriti kerana mereka bukan terdiri daripada satu parti.

Sebaliknya, kata beliau, kerusi-kerusi yang dimenangi parti-parti berkenaan perlu dikira berasingan dan secara individu.

''Gabungan pembangkang yang didakwa oleh PKR, DAP dan Pas bukan satu barisan kerana ia tidak berdaftar sebagai parti coalition (gabungan).

''Adalah salah untuk menganggap mereka sebagai satu gabungan seperti BN,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau dihubungi bagi mendapat penjelasan berhubung isu perlembagaan dan perundangan mengenai pembentukan kerajaan dengan merujuk khusus kepada kekalutan yang berlaku di Perak.

Rais menjelaskan, Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi Westminster atau Common Law memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong berkuasa dan berhak menentukan Perdana Menteri yang pada pandangan baginda mewakili sokongan paling banyak dalam Dewan Rakyat iaitu beroleh sokongan majoriti.

Tambahnya, di negeri-negeri pula, sepatutnya sultan atau raja melihat kepada satu parti yang beroleh kerusi yang paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

''Sultan memang berkuasa untuk menentukan siapa yang menjadi Menteri Besar dan ia adalah satu-satunya kuasa diraja yang masih kekal,'' ujar beliau.

Rais berkata, di Perak, sultan boleh mengambil salah seorang wakil parti yang dianggap mencapai majoriti kepentingan dalam Dewan Undangan Negeri.

''Kalau ambil dari parti yang kecil kerusinya, ia adalah salah dari segi amalan demokrasi Westminster,'' ujarnya.

Beliau berkata, memang tiada peruntukan yang jelas mengenai perkara itu kecuali menyatakan perlu bersandar kepada persetujuan majoriti anggota DUN.

Mengulas mengenai konflik pelantikan Menteri Besar dan pembentukan kerajaan di Perak, beliau berkata, keadaan itu berlaku akibat kesilapan pihak yang memberi nasihat kepada sultan.

Beliau memberi sebabnya iaitu mereka tidak boleh menganggap Pas, PKR dan DAP sebagai gabungan parti kerana pakatan itu bukan diwujudkan oleh undang-undang.

Sedangkan, katanya, BN yang merupakan gabungan parti komponen wujud melalui proses pendaftaran yang diiktiraf undang-undang.

''Sultan memang ada kuasa melantik Menteri Besar daripada orang Melayu dan Islam tetapi asas majoriti mesti difikirkan.

''Pas bukan majoriti, BN yang merupakan majoriti,'' katanya.

Beliau berkata, untuk membentuk kerajaan campuran Pas, PKR dan DAP, semuanya adalah atas pertimbangan sultan.

Bagaimanapun, tegasnya, pakatan parti-parti itu perlu menunjukkan dokumen yang membuktikan gabungan mereka.

''Apakah betul atau tidak mereka adalah gabungan campuran? Mana dokumennya, cakap memang senang. Erti gabungan itu mestilah jelas,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, sultan perlu melihat bilangan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti itu secara berasingan, iaitu mengikut jumlah kerusi masing-masing.

Tegas beliau, adalah salah kalau mereka dianggap sebagai satu parti.

Merujuk kepada kesamaran peruntukan tersebut dalam Perlembagaan dan undang-undang negara, Rais berkata, ia menimbulkan satu masalah yang besar pada masa depan.

''Ini adalah masalah besar perundangan masa depan bagi kita,'' katanya.

***

DEB: Guan Eng diselar

KUALA LUMPUR 13 Mac – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu bertanggungjawab terhadap apa sahaja kemungkinan yang berlaku ekoran kenyataannya yang boleh menyinggung perasaan orang Melayu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kenyataan itu boleh memarakkan ketegangan kaum dan mencetuskan kemarahan orang Melayu.

‘‘Saya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, inilah Lim Guan Eng yang sebenarnya, dia sepatutnya ditolak di dalam Pilihan Raya Umum yang lalu,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri semalam memberi amaran kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya tidak membuat kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum.

Guan Eng, selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang semalam, memberitahu pemberita bahawa kerajaan negeri pimpinan DAP itu tidak akan mengamalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut Mohd. Ali, tindak-tanduk Guan Eng itu boleh menyebabkan orang Melayu hilang tempat di Pulau Pinang.

‘‘Guan Eng tidak boleh menekan orang Melayu, malah, dakwaannya terhadap DEB semuanya palsu kerana semua kaum di negara ini dapat faedah.

‘‘Ekonomi kaum lain lebih tinggi berbanding Melayu, begitu juga dalam pendidikan, kaum lain boleh belajar di mana-mana universiti,’’ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, orang ramai telah tertipu dengan permainan politik DAP.

Hishammuddin berkata, DAP tidak akan melaksanakan janji-janjinya semasa pilihan raya umum lepas kerana hasrat utama parti itu hanya untuk mendapatkan kuasa.

‘‘Tindak-tanduk DAP ini telah membuktikan bahawa apabila telah berjaya membentuk kerajaan mereka pastinya tidak akan menepati janji yang telah dibuat.

‘‘Saya berharap sangat agar DAP akan membuktikan mereka akan melaksanakan segala janjinya bahawa kerajaan yang dibentuk itu untuk semua kaum,’’ katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahid Hamidi berkata, sikap bongkak Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengarahkan penghapusan DEB merupakan petanda awal sikap kurang ajar kepimpinan DAP yang tidak menghormati aspirasi negara bagi menterjemahkan semangat DEB untuk terus dilaksanakan.

‘‘Sikap tidak menghormati institusi raja dengan tidak menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak memperlihatkan satu lagi keangkuhan DAP, biarpun hanya baru beberapa hari menjalin permuafakatan untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu,’’ katanya lagi.

Jelas beliau, sikap yang keterlaluan dan melampau itu seolah-olah mengundang api perkauman supaya disemarakkan dan benar telahan umum selama ini bahawa DAP merupakan parti cauvanis yang bertopengkan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

‘‘Sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada institusi raja dan menghormati dasar-dasar negara, kita berasa terpukul dengan keangkuhan DAP yang seolah-olah mengundang api permasalahan dan negara terpaksa membayar harga yang mahal akibat keangkuhan pemimpin-pemimpin DAP,’’ tambahnya.

Zahid memberitahu, walaupun Lim Kit Siang sudah memohon maaf dan akur untuk menghadiri majlis angkat sumpah, namun, langkah itu ‘sudah terhantuk baru tengadah’ dan ‘pekung di dadanya’ telah terdedah serta sikap buruknya diketahui umum seperti ‘menutup bangkai gajah sehelai tikar’.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai ketika dihubungi pula berkata, teguran Perdana Menteri itu berasas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum.

‘‘Kita perlu jaga sensitiviti kaum bagi mengekalkan semangat muhibbah, kita tidak boleh buat perkara yang membakar semangat ketegangan kaum,’’ tegasnya.

Menurutnya, pemimpin Barisan Nasional juga mengamalkan konsep kesederhanaan dalam segala perkara bagi menjamin kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, DEB banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara malah memberi manfaat kepada semua kaum.

Katanya, Puteri UMNO kesal dengan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengatakan pelaksanaan DEB punca kronisme, rasuah dan ketidakcekapan.

‘‘Itu merupakan satu penghinaan kepada pemimpin negara serta orang Melayu secara amnya,’’ katanya dalam kenyataan akhbar di sini malam ini.

Sehubungan itu Noraini berkata, Guan Eng perlu menarik dakwaannya yang bersifat menghina pelaksanaan DEB ekoran ia boleh menimbulkan rasa kurang senang terutama di kalangan masyarakat Melayu.

***

KM Pulau Pinang berdolak-dalik

PULAU PINANG 13 Mac - Selepas mengatakan akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), Ketua Menterinya, Lim Guan Eng hari ini dengan nada berbeza berkata, dasar itu tetap dilaksanakan tetapi bebas daripada rasuah dan kronisme.

Guan Eng berkata, apa yang cuba dijelaskannya Selasa lalu ialah DEB akan tetap diteruskan tetapi ia bebas daripada rasuah dan kronisme kerana dua perkara itu dikenal pasti menjadi punca kenapa dasar tersebut lemah.

Beliau mendakwa apa yang dilaporkan dalam akhbar merupakan satu provokasi dan kenyataannya telah diputar belit sehingga menyebabkan Perdana Menteri tercabar dengan apa yang mahu dilakukan oleh DAP di Pulau Pinang.

"Kita tidak membuat apa yang pelik dan tidak betul, adakah dengan arahan menghapuskan saman dan kompaun serta membuat tender secara terbuka dikatakan cuba menghapuskan DEB.

"Saya rasa ini provokasi dari kerajaan Barisan Nasional dan daripada golongan tertentu untuk menguji kami dan saya tegaskan bahawa kalau DEB dibuat secara betul, kami akan sokong tetapi jelas selama ini ia (DEB) dikelilingi rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan Exco kerajaan negeri di Dewan Sri Pinang di sini.

Guan Eng yang mengulas amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepadanya agar tidak membuat kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman.

Mengulas lanjut kata Guan Eng, ucapan dasar pertamanya telah diputarbelit sehingga ia menampakkan DAP cuba memprovokasi kerajaan tentang DEB.

Beliau memberi contoh, cara pemberian kontrak dan saham hanya menguntungkan satu atau dua pihak sahaja serta tidak menyeluruh sehinggakan ada kaum tidak mendapat manfaat secara menyeluruh.

Guan Eng menjelaskan, apa yang DAP bakal lakukan tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana kaum di Pulau Pinang sama ada Melayu, Cina atau India.

Beliau memberi jaminan semua kaum di Pulau Pinang tidak dipinggirkan malah akan bersama-sama menikmati faedah dan berkongsi kemakmuran, sama seperti di negeri lain.

***

Henti projek mega P. Pinang

PULAU PINANG 13 Mac – UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan Pusat menghentikan semua projek mega yang dirancang di negeri ini termasuk perkhidmatan bas RapidPenang yang telah beroperasi 31 Julai tahun lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerajaan baru Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP merencanakan projek mengikut acuan mereka sendiri.

Beliau berkata, tindakan itu juga sebagai memenuhi keinginan rakyat Pulau Pinang yang tidak mahukan kemajuan dan pembangunan yang ditawarkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

‘‘Ini bukan balas dendam. Ini tanggungjawab kerajaan negeri yang baru untuk memajukan dan membangunkan negeri ini mengikut cara mereka sendiri.

‘‘Kami akan memujuk, merayu dan meminta kepada kerajaan Pusat supaya segala projek mega di Pulau Pinang ditarik balik,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat UMNO negeri di Menara UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa projek seperti pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, projek monorel, Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Jalan Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan Penang Sentral perlu dihentikan.

Azhar menjelaskan, selama ini UMNO telah berusaha membantu mereka sedaya mungkin semata-mata untuk memberi kemajuan yang sama rata kepada semua kaum.

Namun, kata beliau, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu jelas menunjukkan rakyat Pulau Pinang menolak pembangunan.

‘‘Mereka menolak pembangunan. Oleh itu, biar semua orang sama ada yang menyokong DAP mahupun BN sama-sama berkorban seperti mana yang diperjuangkan orang terdahulu.

‘‘Rakyat yang tidak mahu projek itu, lebih baik kita hentikan. Sekarang kita biar kerajaan baru DAP buat projek, kita sebagai pembangkang pula akan awasi,” katanya.

Menyentuh keputusan Ketua Menteri baru Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menamatkan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Azhar berkata, pemimpin negeri itu perlu membuktikan dulu kemampuan sebelum melakukan kritikan terbuka terhadap dasar itu.

Sebaliknya, katanya, Ketua Menteri itu perlu memberi fokus kepada janji-janji yang ditaburkan oleh parti pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum lalu.

Sambil membidas kritikan yang disifatkan berbaur perkauman, beliau berikrar untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan orang Melayu sebagai golongan minoriti di Pulau Pinang akan terus dibela.

Katanya, kritikan terbuka Guan Eng terhadap DEB menggambarkan pendirian parti itu yang cenderung dilihat memusuhi orang Melayu.

“Mereka (DAP) mahu mulakan (penghapusan DEB) di Pulau Pinang dan kita sedar inilah matlamat perjuangan mereka selama ini. Kenapa baru sekarang mahu bercakap (mengkritik) fasal DEB? Kenapa tidak semasa berkempen?

“Sepatutnya beliau (Guan Eng) tumpukan kepada janji-janji mereka, buktikan dulu daya kepimpinan sebelum mengkritik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri semalam menyatakan kerajaan negeri yang ditubuhkan hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang dari pada pelaksanaan DEB yang didakwanya menjadi punca kronisme, rasuah dan ketidakcekapan.

Kenyataan terbuka Guan Eng itu dikecam hebat ramai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengingatkan Setiausaha Agung DAP itu supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum.

***

Apa muslihat DAP

Oleh: AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)

Tidak sampai pun seminggu dari tarikh kemenangan parti-parti pembangkang, pelbagai perkara yang boleh mencetuskan aksi berbau perkauman telah dilakukan oleh pemimpin DAP.

Pada hari Selasa lalu, sebaik-baik selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan penghapusan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Mutiara itu, manakala kelmarin, bapanya Lim Kit Siang selaku Penasihat DAP Pusat yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengarahkan semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri DAP memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak kerana tidak setuju dengan pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar.

Menyedari reaksi dan bantahan hebat orang Melayu, Kit Siang kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Walau apa pun penjelasan Guan Eng dan Kit Siang mengenai DEB dan institusi raja bagaikan ‘menampar’ muka orang Melayu yang sedang tidur lena.

Sepatutnya kedua-dua beranak yang berpindah-randah dari Johor, Melaka, Perak dan kini di Pulau Pinang perlu juga memikirkan perasaan kaum pribumi sebelum membuat sebarang kenyataan.

Kenapa mereka tidak mahu memahami dan menghormati perasaan orang Melayu Pulau Pinang dan Perak yang sebilangannya turut memberi undi kepada DAP.

Adakah DAP sengaja ingin menjolok sarang tebuan dan menjangka jutaan tebuan akan membiarkan sarangnya dibiarkan jatuh hancur berkecai.

Kit Siang sebagai pemimpin veteran dalam politik nasional tidak mungkin pendek akal hingga langsung tidak peduli sensitiviti institusi raja-raja Melayu.

Apakah ada muslihat Kit Siang untuk memberi mesej kepada pengundi bukan Melayu bahawa wakil DAP patut dilantik sebagai Menteri Besar Perak bukan daripada calon Pas yang mempunyai suara kecil (lima kerusi) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Adakah tindakan Kit Siang itu semata-mata ingin memberitahu kepada penyokong DAP bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu tidak adil kepada pihaknya?

Peruntukan undang-undang ini mahu dipertikaikan hingga menyebabkan ADUN daripada DAP yang hanya diwakili ahli politik Cina dan India hilang kelayakan sebagai Menteri Besar walaupun memenangi kerusi terbanyak dalam gabungan pembangkang iaitu 18 kerusi berbanding PKR (tujuh) dan Pas (enam).

Hakikatnya, DAP langsung tidak ada sikap tolak ansur terhadap rakan kongsi dalam pakatan pembangkang yang hanya berkelebihan tiga kerusi berbanding dengan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 28 kerusi DUN.

Dalam keadaan sekarang, rakyat dapat menyaksikan bagaimana orang Melayu telah diperlekehkan oleh DAP.

Bagaimana perasaan orang Melayu apabila melihat keputusan Sultan Azlan Shah yang melantik ADUN Pas, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak dipertikai oleh DAP.

Apakah DAP tidak menghormati pemilihan Sultan Perak yang arif tentang undang-undang. Sultan Azlan Shah sudah tentu meneliti secara mendalam akan implikasi pelantikan Mohammad Nizar.

CEC DAP boleh memberi mandat kepada Pengerusi DAP Perak merangkap ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham, atau ADUN Behrang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd. Radzi sebagai calon Menteri Besar. Tetapi Sultan Perak telah memutuskan baginda lebih berkenan pada Mohammad Nizar.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah Setiausaha Pas Perak itu sebagai Menteri Besar yang baru petang semalam ditangguhkan kerana pihak istana mendapati DAP, PKR dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Hakikatnya kini, orang Melayu yang mengundi DAP boleh melihat tembelang sikap DAP. Apabila sahaja diberi mandat oleh rakyat untuk berkuasa, mereka langsung tidak memikirkan mengenai kaum lain.

Tolak ansur

Jika diimbas kembali tolak ansur Melayu terhadap kaum Cina, kita berasa terharu.

Bayangkan bagaimana UMNO Pulau Pinang yang mendapat kerusi DUN lebih banyak daripada Gerakan dalam pilihan raya umum 1999 tetap menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti itu walaupun undang-undang negeri tidak menyatakan jawatan itu untuk kaum tertentu sahaja.

Kini DAP mula menunjukkan belang parti itu yang memperjuangkan Malaysian Malaysia.

Kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati daripada DAP sudah pasti akan mengundang tafsiran dan kemarahan orang Melayu. Apatah lagi kenyataan menghina pilihan yang telah dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Menurut Setiausaha Agung, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) Ariff Wahab, sekalipun dinafikan oleh Kit Siang bahawa DAP tidak berhasrat membelakangi Sultan Perak, namun kenyataan itu menggambarkan bahawa beliau seorang yang sangat angkuh.

Kit Siang seharusnya sedar bahawa sultan sebagai payung rakyat, tanpa mengira Melayu ataupun bukan Melayu mesti menghormati kedudukan mereka.

“Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian berterusan, maka kami menyeru agar semua pihak berwaspada dan berhati-hati mengeluarkan apa-apa kenyataan politik pada masa ini. Sesuatu kenyataan yang dibuat hendaklah difikirkan semasak-masaknya dari segenap aspek, bukan hanya memikirkan tentang satu-satu parti atau satu-satu kaum sahaja.

“Kami amat risau bahawa kenyataan-kenyataan DAP masa ini akan menjadi pencetus kepada peristiwa perkauman yang kita sama-sama jauhi seumpama 13 Mei 1969,” kata Ariff kepada Utusan Malaysia.

Penolakan DAP terhadap pencalonan Pas selaku Menteri Besar Perak menggambarkan pakatan pembangkang DAP, PKR dan Pas adalah retorik politik pilihan raya semata-mata.

Kata penganalisis politik, Md. Shukri Shuib, ini kerana dalam kes di Perak misalnya, ia menggambarkan keangkuhan DAP yang secara mentah-mentah menolak peranan istana dalam merestui calon Menteri Besar Melayu dari Pas.

Ini bermakna bahawa wujud satu sentimen perkauman yang menebal di kalangan pemimpin DAP, apatah lagi keseluruhan wakil rakyat mereka adalah daripada kalangan bukan Melayu.

Untuk rekod, dengan kemenangan DAP di 18 kerusi DUN Perak membuatkan mereka selaku aktor politik yang menjuarai kemenangan pembangkang di negeri Datuk Maharajalela.

“Namun, mereka lupa bahawa tanpa gabungan mantap Pas dan PKR bersama mereka, DAP tidak akan mampu mendapatkan kuasa di negeri beraja Melayu tersebut.

“Kini, dengan tindakan DAP yang tidak merestui Pas selaku Menteri Besar, maka mustahil pembentukan kerajaan pembangkang dapat dilakukan,” kata Md. Shukri yang merupakan pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa , Universiti Utara Malaysia.

Dengan penangguhan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak, katanya, maka ini memberikan laluan alternatif kepada UMNO yang memenangi 27 kerusi daripada keseluruhan 28 DUN dimenangi BN jika diperkenan pihak Istana Iskandariah untuk mengemukakan calon mereka.

“UMNO juga perlu diberikan peluang membentuk kerajaan atas dasar dominasi politik semasa secara kiraan satu tiket parti tanpa merujuk kepada Pas, PKR dan DAP sebagai satu gabungan. Jika formula ini diterima pakai, maka BN harus kembali diberikan kuasa mentadbir negeri sebagai parti terbesar dalam DUN,” kata Md. Shukri.

Kini, terbukti bahawa ketuanan Melayu adalah juga berkisar kepada restu istana, tanpa peranan sultan dan raja Melayu, pastinya Perak dan negeri-negeri Melayu lainnya akan berhadapan dengan krisis ketuanan Melayu yang serius.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berpendapat sekarang pengundi Melayu yang undi pembangkang harus bersedia terima kehancuran DEB. Beliau turut mempersoal di mana pejuang Melayu dalam PKR?

“Adakah mereka mahu melihat ketuanan Melayu hancur. Apakah orang Melayu PKR hanya melihat bangsanya ditekan oleh DAP? Adakah mereka juga sanggup institusi Raja Melayu diperlekehkan DAP?” kata beliau.

Di mana Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau tidak sanggup tanah Melayu diambil kerajaan dan kini Guan Eng memegang portfolio tanah di Pulau Pinang. Walau apa pun harga ketuanan Melayu, kita harus pertahankannya.

***

Melayu ‘makan’ Melayu?

SURAT 1
BELUM seminggu menikmati kemenangan dalam pilihan raya, DAP telah mula menunjukkan belang sikap cauvinis dan ‘kiasu’ dengan tidak menghormati dasar sosial melindungi hak orang Melayu.

Orang Melayu Pas dan PKR hanya pandai menunjukkan kehebatan politik demonstrasi jalanan dan keseronokan berpesta pilihan raya. Tetapi DAP menunjukkan kehebatan menerusi penyatuan undi Cina dengan memperlekeh orang Melayu dan rakan kongsi mereka iaitu PKR dan Pas.

Dengan kebijaksanaan, manipulasi dan dendam politik, DAP dengan berani menolak perlaksanaan DEB di Pulau Pinang.

Mereka akan mengadakan sistem pilihan raya majlis perbandaran dan akan mendesak sistem yang sama untuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Oleh kerana orang Cina adalah penduduk dan pengundi majoriti di semua bandar besar, DAP yakin dapat memiliki pentadbiran bandar dan majlis tempatan. Mereka akan memastikan Cina, yang kini menguasai ekonomi dan kekayaan negara, akan terus diperkasakan sementara Melayu terus dipinggir.

Pada masa yang sama mereka berikrar menjadikan Pulau Pinang negeri termaju dengan meminta kerajaan BN terus menyalurkan wang pembangunan. Mereka juga mahu Petronas membiayai kos membina jambatan kedua Pulau Pinang untuk mengelakkan kemungkinan membayar tol.

Mereka mahu keselesaan untuk rakyat Pulau Pinang sahaja, peduli apa dengan orang lain. Yang sudah ada hendak ditambah, hak orang lain hendak dinafikan. Ini sikap kiasu yang sememangnya tamak dan jijik.

Kerajaan DAP yang kononnya multi-racial mengwujudkan setiap satu jawatan Timbalan Ketua Menteri untuk orang Melayu dan orang India, dengan alasan mereka akan mengadili kepentingan sendiri. Ini adalah bukti bahawa DAP dan PKR yang multi-racial tidak dapat berlaku adil dan menjaga semua rakyat sehingga terpaksa mengamalkan pemerintahan mengikut pecahan kaum.

Perkara yang sama dilakukan di Perak dan Selangor kerana DAP hanya mahu menjaga kepentingan Cina sahaja dan tidak mempercayai PKR dan Pas yang mengetuai kerajaan-kerajaan negeri tersebut.

Inilah akibatnya perbuatan orang Melayu yang menyokong DAP menerusi sokongan mereka kepada PKR dan Pas. Mereka sebenarnya pengkhianat bangsa dan agama. PKR tidak langsung membantah kerana mereka hanya berminat untuk berkongsi kuasa dengan DAP. Pemimpin utama PKR juga menolak DEB terutama ketika berceramah di hadapan hadirin bukan Melayu. Selain itu, ramai calon bukan Melayu turut bertanding atas tiket PKR. Maka segala momokan bahawa PKR mengutamakan kepentingan Melayu adalah penipuan paling besar dalam sejarah politik tanah air. PKR sebenarnya bergerak atas landasan dendam peribadi pemimpinnya. DAP ternyata mempergunakan PKR untuk agenda mereka dan terbukti berjaya besar. PKR pula bergantung kepada DAP untuk menarik undi bukan Melayu. Sebab itu, PKR sanggup bersekongkol dengan gerakan undi jentera DAP iaitu ‘undi Cina untuk Cina’.

Atas percaturan itu, masyarakat Cina turut menyokong PKR kerana parti itu diyakini bukan membawa agenda Melayu sebagaimana UMNO. Lebih pasti, PKR menjadi alat untuk DAP lemahkan kuasa politik Melayu. Itulah jasa terbesar PKR kepada umat Islam dan Melayu.

– MELAYU CELIK

Kuala Lumpur.

***

What do you think?



Source taken from : http://www.utusan.com.my

4 comments:

  1. Aku rasa BN masih tak boleh terima kekalahan diorg nih...

    Bengap pun ada. At least dah lebih 50thn, jadilah 1 parti yg matang, terima kekalahan dgn seadanya.

    Let the new gov buat kerja depa dlu, satgi baru la komen. Ni baru seminggu dah keco-keco. Macam la org lain buta politik, depa je yg pandai. Kat Perak cthnya, ada depa pi jumpa Raja Nazrin nak memerintah balik, mcm la Raja Nazrin tu buta kayu...

    Dulu KJ dok kata jgn jadi mcm beruk-beruk di jln raya, la nih UMNO sendiri pun sama. Haih... meludah ke langit, last2 jatuh kat hdg sendiri..

    Pasal DEP (NEP ; in english), yg tu aku serahkan kat setiap org utk bg pendapat. Bagi aku, ada pro, ada kontra.

    Tapi bg aku, UMNO tetap dah tak relevan dah. Media dok sebut pasal racist je. Menyampah aku baca.

    Dah 50 tahun beb... Rakyat tak bodo cam dulu...

    ReplyDelete
  2. huhu
    got feeling penang will be singapore num 2!
    but dunnolaa
    im neutral..
    i support leaders not parties!
    haha!
    admar!! i got straight as for spm!!
    u have to treat me!! hahaha!!

    ReplyDelete
  3. Syphoon,

    Terima kasih atas komen anda. Ya, saya setuju dengan pendapat anda. Benda baru lagi, sepatutnya diberi peluang untuk pemerintahan baru.

    Setuju juga dengan tomahan "beruk-beruk" tu. Kenapa perlu buat demonstrasi sedangkan itu bukan budaya kita? Mereka juga yang iklankan macam tu dulu?

    Harap-harap ada perubahan walaupun tak drastik. =)

    ReplyDelete
  4. artistic,

    Congrats for great result. Come to Penang and the treat is on me =)

    P/s: Yes I'm neutral too

    ReplyDelete

Thank you for the comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...